Thursday, December 31, 2009

Ma'had Attarbiyah Al-islamiyah


PENGENALAN
MATRI atau nama penuhnya Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah ialah sebuah sekolah swasta yang dimiliki oleh Lembaga Tadbir MATRI.
Terletak di atas sebidang tanah seluas 16.2 hektar di Perkampungan Tunjung, 02400 Beseri, Perlis iaitu kira-kira 12 km dari Bandar Kangar.

Ma'had ini terletak di dalam kawasan perkampungan bersebelahan kebun getah serta dusun buah-buahan dengan lanskapnya yang menghijau dan harmoni serta dikelilingi oleh rumah-rumah penduduk perkampungan Tunjung yang indah lagi tersusun.

Sesuai dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri Perlis sebagai negeri ilmu maka kemunculan MATRI dipersada alam pendidikan sangat bertepatan dengan masanya.

SEJARAH SEKOLAH

Ma'had ini telah diasaskan oleh Al-Fadhil Dato' Dahlan bin Mohd. Zain dan mula beroperasi pada 2 haribulan Ogos 1987 bersamaan 17 haribulan Zulhijjah 1407H. Bermula dengan 17 orang pelajar (8 lelaki dan 9 perempuan) dan sekarang Ma'had ini mempunyai lebih daripada 800 orang pelajar.

MATRI pada mulanya didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada 8 haribulan April 1990 dan rujukan pendaftaran: JAIPs-AM-1/8/(8), juga pada masa yang sama telah didaftarkan dengan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) dan mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran Malaysia pada 20 Ogos 1994 dengan No. Pendaftaran: JPPs. 24/98.

MATRI juga pada hari ini telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sekolah antarabangsa (International School) No. Rujukan kelulusan: KP (JPS) 5181/20/01/Jld.2(47)

SISTEM PENGAJIAN
Program Pendidikan yang Ditawarkan

MATRI menawarkan 3 peringkat pengajian iaitu:

1. Menengah Rendah (Tingkatan 1-3) bagi calon lepasan UPSR dengan kelulusan sekurang-kurangnya 3A2B.
2. Menengah Atas (Tingkatan 4-5) dengan menawarkan 2 aliran iaitu Sains Tulen dan Sastera bagi pelajar lepasan PMR.
3. Kelas khas atau dikenali sebagai Marhalah Khassah (Tingkatan 6) dengan menawarkan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Syahadah MATRI bagi calon-calon lepasan SPM untuk tempoh pengajian selama 2 tahun.

Sistem Pengajian yang dijalankan oleh MATRI selari sepenuhnya dengan Sistem Pendidikan arus perdana negara iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) bagi pendidikan di peringkat menengah rendah dan menengah atas dengan penekanan yang lebih diberikan kepada Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Manakala bagi peringkat kelas khas atau Marhalah Khassah (Tingkatan 6), kurikulum yang digunakan ialah kurikulum yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, yang mana ianya telah diiktiraf oleh beberapa universiti terkemuka seperti Universiti al-Azhar, Mesir dan lain-lain universiti di Timur Tengah.

0 comments:


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by ArchiThings.Com - Modern Architecture Design